
DATUK Seri Najib Razak menyatakan akan mengambil keputusan mengenai kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu sekali gus mengambil kira kemerosotan sokongan rakyat kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Saya mengambil maklum pelbagai pandangan pemimpin dan ahli-ahli parti di semua peringkat mengenai kedudukan saya. Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14).
“Sebarang keputusan saya itu akan memastikan UMNO dan BN sebagai parti yang paling banyak kerusi di Parlimen terus kekal utuh agar dapat terus menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Beliau akan memaklumkan keputusan dan perancangan masa depannya dalam masa terdekat.
“Sepanjang tempoh ini saya memohon semua ahli UMNO dan BN bertenang dan tabah serta terus menguatkan ikatan kita terutama dalam suasana politik yang mencabar ini.
“Sebarang keputusan yang saya akan buat nanti, hanyalah untuk memastikan UMNO dan BN kembali kuat dan mendapat semula kepercayaan rakyat.
“Saya yakin UMNO dan BN dapat mengembalikan kekuatan ini kerana sepanjang 60 tahun mentadbir negara, kita telah membuktikan kemampuan kita berkhidmat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, penyokong perlu reda dengan ketentuan Allah, selain melihat semua itu satu hikmah dan berusaha memperbaiki segala kelemahan.
No comments:
Post a Comment